Siapa Saya Sebenarnya

Masa sesi pumping tadi..saya terbaca artikel yang meruntun naluri saya sebagai seorang wanita..isteri...ibu..dalam kehidupan kita, pelbagai agenda yang berlaku...bagi yang bahagia di samping orang yang tersayang..bersyukurlah kalian...sesungguhnya kesyukuran saya panjatkan kepadaNYA kerana Alhamdulillah..diberi keizinan untuk diri ini disayangi..menyayangi..kita perlu beringat.."langit tak selalunya cerah...dan mendung itu tak bererti hujan.."

Kisah yang ingin saya kongsikan dari Farhana:
(sumber: Utusan Malaysia

“Saya adalah anak sulung dalam empat orang adik beradik, jarak usia kami berempat adalah dua tahun seorang. Sekarang umur saya menjangkau 42 tahun dan adik paling bongsu berusia 36 tahun.
“Saya mungkin anak derhaka kerana telah menyakiti hati dan perasaan ibu bapa saya tetapi saya hanya mahukan jawapan yang pasti untuk mengetahui asal usul saya.
“Sehingga kini setiap soalan yang saya ajukan kepada ibu bapa saya tidak ada jawapan. Mereka membisu seribu bahasa.
“Sejak kecil setiap kali bercerita, ibu selalu menyebut, mama dan ibumu. Saya tidak pernah bertanya ibu siapa yang dikatakan ibumu itu kecuali dia memberitahu ibumu yang selalu disebut itu adalah anak angkatnya.
“Katanya lagi, ayah dan ibu kandung saya memberi saya kepada ibu kerana mereka hidup susah dan tidak mampu untuk menjaga saya.
“Sehingga dewasa ibu masih merahsiakan asal usul saya sehinggalah saya akan mendirikan rumah tangga. Ketika khabar gembira itu saya sampaikan kepada ibu, dia nampak gelisah.
“Ayah pula ketika itu bertugas di luar daerah. Saya mendengar ibu memberitahu ayah tentang berita itu.
“Keesokkanya ibu membawa saya ke rumah seorang cikgu yang juga AJK (Ahli Jawatan Kuasa) masjid. Kepada cikgu tersebut ibu memberitahu, saya perlukan wali hakim kerana ayah bekerja jauh dan tidak dapat pulang untuk mewalikan saya.
“Saya pada mulanya tidak kisah akan tindakan ibu walaupun sebagai anak saya amat berharap ayah yang mewalikan saya.
“Segala-gala berjalan dengan lancar sehingga pada suatu hari suami pulang dari kerja dan menghulur kepada saya sijil nikah kami.
“Gembira menerima sijil yang menjadi lambang cinta kami, saya perhati satu persatu apa yang tertera di sijil tersebut.
“Akhir sekali mata saya terpaku pada nama saya yang berbintikan Abdullah. Terkedu sebentar saya jadinya tetapi dengan tenang saya bertanya suami kenapa nama saya berbintikan Abdullah.
“Suami saya kata tidak mengapalah, lagi pula ayah tidak ada semasa pernikahan kami. Saya tidak berpuas hati dengan kata-kata suami.
“Saya mendesaknya untuk mendapatkan cerita yang sebenarnya. Akhirnya suami berjumpa imam yang menikahkan kami dan dia memberitahu, saya berwalikan hakim kerana saya adalah anak angkat yang dibela oleh ayah dan ibu sejak saya kecil lagi.
“Baru saya faham sebab ayah tidak boleh menjadi wali saya. Saya sedih dan terkilan sebab ibu telah berjumpa dengan imam tersebut berceritakan masalah saya tanpa pengetahuan saya.
“Kemudian Imam bertanya kepada suami sama ada suami mahu menerima saya atau mahu membatalkan pernikahan tersebut.
“Syukur, suami dengan tenang reda menerima saya sebagai isterinya tetapi perasaan saya berbaur sedih kerana ibu tidak berterus terang dengan saya.
“Sejak itu saya selalu teringat semasa saya kecil ayah tidak pernah bermesra dengan saya, apa juga kesilapan yang dilakukan oleh adik-adik saya, maka saya akan menjadi mangsanya.
“Muka saya pernah ditenyeh dengan najis adik saya, pipi saya selalu ditampar, perut saya pernah ditumbuk oleh ayah, tapi siapa saya untuk melawan ayah?
“Hanya air mata teman saya ketika terlalu sedih. Ibu selalu menceritakan kepada kawan-kawannya pasal saya, tetapi saya tidak pernah mendendami ibu bapa saya.
“Pernah sekali saya bertanya ibu betul kah saya ini anak angkat tetapi ibu melenting.
“Kata ibu, saya sengaja mahu menyakiti hatinya. Ayah juga marah apabila saya memberitahu orang saya adalah anak angkatnya.
“Sijil nikah ibu dan ayah yang saya jumpa menguatkan lagi kenyataan ibu yang saya adalah anak angkat kerana tarikh lahir saya pada hujung tahun 1969 tetapi dalam sijil nikah tersebut tarikh perkahwinan ibu dan ayah adalah pada bulan Mac 1973.
“Hingga kini ibu dan ayah tidak pernah memberitahu siapa saya, ibu juga pernah bercerita ibumu bekas pekerja kelab malam dan berjumpa dengan pelbagai orang.
“Kalau saya anak tidak sah taraf pun saya terima. Saya faham saya tidak sama dengan adik-adik. Tetapi sayangnya dia tidak pernah bercerita tentang saya.
“Apabila saya tanya siapa ibu bapa saya juga mereka tidak memberitahu. Bila keadaan terdesak, ayah mula membuka mulut.
“Katanya, saya adalah anak kandungnya dan ibu kerana saya sangat nakal semasa kecil ayah selalu kata saya anak angkat hinggalah kepada orang pun ayah dan ibu akan bercerita hal yang sama. Tetapi saya tahu kata-kata itu hanya untuk menutup kesilapan mereka dan saya diperbodohkan oleh mereka.
“Saya reda dengan ketentuan hidup saya cuma saya ingin tahu, jika betul saya anak angkat, di mana ibu bapa kandung saya?
“Kalau saya anak tidak sah taraf saya terima dengan reda. Bukan saya mahu menghina ibu dan ayah, tetapi saya perlu tahu siapa diri saya. Kawan-kawan cakap wajah saya tidak sama dengan adik-adik. Apabila saya cerita kepada ibu dia akan marah.
“Saya amat berharap ayah dan ibu akan berterus terang dengan saya. Bagi tahu siapa ibu bapa saya yang sebenarnya.
“Saya sangsi tentang dua perkara, satu mengikut sijil nikah, perkahwinan ibu dan ayah adalah pada 1973 tetapi tarikh lahir saya adalah 1969.
“Apabila saya hendak mencari ibu bapa kandung saya, ibu dan ayah marah, kata mereka ibu bapa kandung saya tidak ada. Mereka tidak wujud, jadi saya anak siapa?
“Saya bersyukur kerana dijodohkan dengan seorang lelaki yang menerima saya seadanya.
“Kalau keluarga suami saya menilai semua rumpun keturunan, mengikut adat resam tradisi nenek moyang di mana mahu saya sorok muka saya yang tebal macam jalan tar ini?
“Saya berdoa setiap kali solat agar ayah dan ibu terbuka pintu hati untuk memberitahu saya hal yang sebenarnya. Saya reda dengan apa sahaja yang akan saya dengar.
“Saya bersyukur kerana saya ada suami yang baik dan sentiasa menyokong saya . Pernah saya tanya suami sama ada dia akan meninggalkan saya kalau dia tahu saya anak luar nikah, dia menutup mulut saya dan berkata, saya adalah jodohnya.
“Dia berjanji tidak akan sia-siakan saya. Saya menangis mendengar kata-katanya. Saya amat bersyukur dikurniakan seorang suami yang memahami. Terima kasih abang di atas keikhlasan dan pengorbanan mu itu.
“Terima kasih juga ayah dan ibu kerana menjaga saya sejak kecil walaupun saya tidak tahu asal usul saya. Semoga Allah merahmati hidup kalian semua di dunia mahupun akhirat. Amin.”

TIDAK semua anak yang lahir di dunia ini beruntung, punya ibu bapa dan mendapat kasih sayang sepenuhnya. Ada juga yang terbuang dan terasing daripada kehidupan sebenar walaupun mempunyai ibu bapa. Mungkin ramai yang terkejut dan menafikan kenyataan ini tetapi kisah yang dibawakan oleh pengirim cerita ini yang memperkenalkan dirinya sebagai Farhana mungkin boleh diambil iktibar oleh kita bersama tentang pentingnya berterus terang dengan anak-anak mengenai asal usul mereka.
Biar pahit, sekurang-kurangnya mereka tahu siapa diri mereka dan boleh meneruskan hidup tanpa sebarang rasa prejudis terhadap ibu bapa dan keluarga.

Labels: