Imaginasi Kanak-kanak

Tersenyum saya bila tiap kali melayan keletah Khalish...
ada je benda baru yang nak diterokai...
mulut pun boleh tahan...macam-macam soalan keluar...
dan part yang paling best bila Khalish buat castle or building...istilah Khalish bila bina block...
seronok sangat tengok imaginasi Khalish...senget pun takpe janji tinggi...

kusyuk betul ...engineer cilik

tadaaa....hasil imaginasi Khalish
.................................................................
Sedikit info untuk perkongsian bersama....

Pakar psikologi Alison Gopnik dari University of California, Berkeley mengatakan bahawa kanak-kanak sudah boleh berimaginasi seawal usia sembilan bulan.

Pada ketika inilah ibu bapa atau pengasuh sudah boleh memainkan peranan untuk menggarap apa yang mereka mahukan untuk santapan imaginasi anak-anak mereka. Tidak salah pada usia semuda itu ilmu sains boleh diperkenalkan, sama ada melalui perbuatan atau pembacaan ibu bapa kepada bayinya.

Mungkin ibu bapa boleh menunjukkan gambar-gambar planet dan bintang-bintang yang bergemerlapan secara berulang kali bagi mewujudkan imaginasi cakerawala kepada si bayi.

Sementara itu, kanak-kanak berusia setahun ke atas sudah mula mengenal objek dan memahami gambar-gambar yang ditunjukkan. Pada waktu ini pendekatan awal yang bersesuaian sudah boleh digarap. Buku sains selalunya mempunyai gambar-gambar yang menarik dan berkisar tentang kehidupan seharian, seperti anggota tubuh badan, bagaimana makanan diproses di dalam perut, apa terjadi sewaktu ibu mengandungkan adik, mengapa hujan turun, mengapa lampu menyala dan sebagainya.

Kanak-kanak akan cepat berimaginasi apabila diceritakan mengapa sesuatu fenomena itu berlaku, terutama fenomena yang dekat dengan mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menceritakan sesuatu itu dengan kaedah seringkas yang boleh, benar dan logik, kerana ini adalah penerimaan pertama kanak-kanak.

Menurut kajian, pembelajaran yang pertama inilah yang akan menjadi asas kepada pengetahuan sedia ada yang bakal mereka ada dalam minda bawah sedar.

Ada banyak tahap bahan bacaan yang boleh digunakan untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur. Kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun selalunya lebih berminat kepada imej bergambar yang ringkas dan berwarna-warni. Lantaran itu bahan seperti kad imbasan amat sesuai digunakan. Kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun pula berminat dengan proses sains dan carta yang mudah. Tahap imaginasi mereka juga amat tinggi dan boleh dizahirkan semula dalam bentuk lukisan atau lakon cara.

Sementara bagi kanak-kanak yang sudah pandai membaca, pendekatan lebih kepada penerangan dan cerita yang lebih jelas tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kanak-kanak pada usia ini mempunyai perasaan ingin tahu yang amat tinggi serta akan mencari sesuatu yang mantap untuk diimaginasikan.
Perasaan ingin tahu yang tinggi adalah sesuatu yang sihat di dalam pembelajaran ilmu sains yang lebih kepada proses sains dan eksperimentasi.

Namun demikian, kanak-kanak tidak akan dapat meneroka bahan bacaan yang ada tanpa bantuan daripada orang dewasa. Ibu bapa bukan sekadar menyediakan bahan, mereka juga boleh membantu anak-anak secara membaca bersama-sama atau berbincang tentang apa yang diperlihatkan oleh bahan bacaan tersebut.

Menerapkan input ilmu ke dalam minda seseorang kanak-kanak adalah seperti mencurahkan air ke atas span yang sentiasa bersedia untuk menyerap seberapa banyak air yang boleh.
Input yang positif akan membuahkan output yang juga positif.

Sememangnya fitrah manusia akan mencari sebab dan akibat tentang sesuatu fenomena yang berlaku dalam kehidupan, dan ilmu sains merupakan cabang ilmu yang sememangnya mencari bukti kukuh tentang fenomena alam. Tidak salah membiarkan kanak-kanak berimaginasi tentang sains, dengan konsep dan pendekatan yang betul serta bersesuaian. Hakikatnya, sains adalah fenomena dalam kehidupan.

Sumber: Utusan Online


Labels: